Pendahuluan
Sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (HSPM) telah menerima sejumlah 51 buah kumpulan (karya secara individu) sebagai penyertaan. Kumpulan puisi ini diterbitkan oleh berbagai-bagai penerbit di Malaysia. Kesemua kumpulan puisi ini dibaca dan dinilai oleh panel penilai di peringkat saringan dengan menggunakan kriteria dan kayu ukur yang telah digariskan oleh pihak Sekretariat HSPM 2014. Setelah membuat pertimbangan dan penilaian yang saksama di peringkat saringan ini, panel memutuskan sebanyak 16 buah kumpulan puisi yang berjaya untuk diangkat ke penilaian di peringkat selanjutnya. Daripada jumlah 16 buah kumpulan puisi yang dicadangkan itu,empat buah dipilih untuk dinilai di peringkat akhir. Judulnya adalah sebagaimana yang berikut ini:
- Jaulah Sampai Syurga
- Membelah Bijaksana
- Kembali kepada Fitrah
- Malakalis
Panel penilai peringkat akhir telah membaca dan menghalusi karya-karya yang terkumpul dalam setiap kumpulan tersebut. Pertimbangan panel ialah subjek karya, bahasa, dan teknik pengucapan. Panel juga mengambil kira keterangkuman idea yang membentuk sebuah kesatuan karya yang mantap. Panel penilai memutuskan kumpulan puisi yang berjudul Jaulah Sampai Syurga sebagai layak diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014.
ULASAN KARYA PEMENANG
Jaulah Sampai Syurga karya Muzaf Ahmad
Kumpulan ini mengandungi 51 buah sajak yang dihimpunkan dalam empat bahagian, masing-masing Saat Melihat Cermin Hakikat ,Tali Ukhuwah yang Dipauti, Tentang Manusia yang Berjuang, dan Berguru dengan Cikgu. Secara umumnya, kumpulan Jaulah Sampai Syurga memuatkan sehimpunan karya yang jernih dan boleh dikatakan bening dari segi pengucapannya. Subjeknya diselimuti nafas keislaman yang halus dan semerbak di mana-mana.Jaulah Sampai Syurga merupakan antologi pengembaraan; Islamik, realistik dan nostalgik. Pandang alamnya konsisten dari mula sampai akhir. Pengisahannya bersifat individualistik sekaligus universal. Puisi-puisi dalam kumpulan ini dapat dinikmati dan dihayati daripada ejendelaf yang berbeza. Hal ini merujuk kualiti pengucapan yang sederhana tetapi menuntut renungan; isu persaudaraan tulen sesama insan sebagaimana fitrahnya kejadian manusia. Fitrah manusia suci murni, anjurannya kita kembali kepada fitrah ini, merenung hal-hal yang dianggap kecil dan sering diabaikan padahal ianya formula paling tepat untuk mewujudkan hubungan baik sesama manusia. Isu kesejahteraan hidup sesama insan dan unsur alam yang lain ialah isu universal.
Sejumlah 51 buah puisi yang dititipkan kepada khalayak terungkap dalam bahasa yang puitis, kemas dan padat yang menyelitkan sisi ambiguiti yang menyerlahkan sifat puisi yang indah. Selain itu, gugusan puisi dalam kumpulan ini digarap sarat kesedaran dan keinsafan tentang makna ukhuwah, dahwah dan pengabdian.
Persoalan ukhuwah membawa makna besar dalam konteks yang sangat luas; manusia belajar dari alam, alam membawa petanda kekuasaan Ilahi, manusia juga belajar dengan manusia; manusia dan seluruh isi alam adalah petanda kekuasaan Maha Pencipta. Manusia menyedari kekerdilan diri berhadapan kekuasaan-Nya; dalam ewudukf kekerdilan dan kekhilafan diri terpamer, sebagaimana tergambara dalam rangkap ini;
mengapa terlalu jauh
aku hincut berlari
sedangkan rumah-Mu ini
tak berdinding atau berpintu
lagikan sejengkal di depan mataku.
saat kupulas pili taubat
Kau-salirkan air keampunan
keluar menderu-deru ke telapak tangan
untuk kujirusbilas dosa yang berjerebu
di jari, muka, siku, ubun dan kakiku.
Amalan berwuduk sebagai syarat menunaikan solat, membaca al-Quran dan melakukan pelbagai perkara dalam kehidupan sering dianggap sebagai tuntutan biasa padahal berwuduk mengandungi hikmah yang tiada batasnya, lebih-lebih lagi memberi kebaikan kepada individu yang mengamalkannya. Hikmah amalan berwuduk disisipkan dalam bandingan yang sangat mudah tetapi berkesan. Jagat keampunan yang tiada batasnya anugerah Allah tersisip kemas dalam ungkapan yang berikut;
aku masuk ke pintu Keampunan-Nya
yang luas terbuka
melihat potret silamku tergantung
seperti mengira dosaku yang tak terhitung.
Pengalaman mematangkan manusia; memberi pengajaran baik dan buruk, namun keyakinan tentang lorong-lorong pengalaman jauh lebih bermakna kerana daripadanya muncul kesedaran, kepasrahan dan kepercayaan, perhatikan:
jalan ini telah melorongkan
kepercayaan.
aku akan jatuh
jatuh dan bangkit
jatuh dan bangkit lagi
jika tidak,
hari ini tentu
aku sedang lumpuh
lumpuh
tak
berkaki.
Sebagai sebuah kumpulan, Jaulah Sampai Syurga dilihat padu. Keseluruhan karya menjuruskan maksud yang terkandung dalam judulnya, yang mengikat kejap idealisme yang diperjuangan pengarangnya. Dalam kesederhanaan gaya pengucapannya, terdapat pemilihan dan penggunaan imej yang berpadanan, penggunaan pelbagai unsur figuratif bahasa bahkan di sana sini, pengarang menyisipkan kata-kata filsafat yang mampu menggugah intelektual pembaca. Falsafah pemikiran yang jernih terpamer dalam banyak puisi, antara contohnya dalam gTitik Perbezaanh;
mengapa dicari titik perbezaan
sedangkan titik persamaanlah
yang mencantum kebijaksanaan
dari kerikil yang memecahbelahkan.
Persamaan dan perbezaan adalah sesuatu yang lumrah. Kejadian manusia yang istimewa setiap satunya adalah petanda kekuasaan Ilahi, dan setiap satunya pula mengandungi hikmah. Justeru, persamaan menemukan manusia dengan kesatuan, kefahaman, kerukunan dan kebijaksanaan berbanding perbezaan yang memisahkan, memecahkan hubungan baik sesama manusia. Beberapa buah puisi yang khusus berbicara tentang kehidupan getir rakyat Pelestin menyajikan sisi yang berbeza, iaitu sebagai pengajaran yang mematangkan keinsafan, kekaguman terhadap perjuangan dan kepasrahan warganya yang tertindas dan terdera. Di samping itu. rentetan kekejaman di bumi anbiya itu terus menyorot keegoan, kesombongan dunia, kemabukan kuasa dan ketidakpekaan negara-negara jiran Palestin. Jelas, puisi-puisi ini diungkapkan dalam kelembutan dan ketajaman minda serta berimpak pada khalayak.
KATEGORI B: PUISI ECERAN
Sekretariat HSPM 2014 menerima sejumlah 2,181 buah puisi daripada pelbagai sumber media penyiaran sepanjang tahun 2014 yang lalu. Daripada jumlah itu, dilakukan dahulu penilaian di peringkat saringan, dan hasilnya sebanyak 126 buah karya dibawa ke mesyuarat penilaian akhir. Panel menilai dengan teliti, dan mengambil kira segenap aspek yang perlu untuk memilih karya yang didapati berkualiti; yang bererti mempunyai muatan subjek yang baharu, segar serta digarap dengan menggunakan medium bahasa yang juga segar dan kaya estetik, serta dapat mengangkat pemikiran kepada khalayak. Karya sewajarnya boleh membuka minda khalayak pembaca juga, dapat mempertingkatkan kefahaman kepada kehidupan dan kemanusiaan, tidak terkecuali mendekatkan diri mereka kepada Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Karya seharusnya juga dapat menjadi penanda aras yang baharu kepada bidang penulisan puisi di negara kita.
Setelah menilai dengan penuh saksama, sebanyak 33 buah puisi disenaraipendekkan untuk dibawa ke peringkat akhir. Hasilnya, 10 karya yang berikut ini diperakukan sebagai layak diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014, iaitu:
1. gDi Padang Sarjanah, Tuah Sujana, Mingguan Malaysia, 5 Januari 2014.
2. gKalaulah Papa Memukulmu, Adibh, Rahimidin Zahari, Mingguan Malaysia, 23 Februari 2014.
3. gKepada Perempuan Lauth, Siti Zainon Ismail, Dewan Sastera, Jun 2014.
4. gRezeki Bumih, Siti Zainon Ismail, Dewan Sastera, Jun, 2014.
5.gPerkebunan Budaya Melayuh, Basri Abdillah, Dewan Budaya, Julai 2014.
6. gMembaca Aksarah, Muhammad Haji Salleh, Dewan Masyarakat, Julai 2014.
7. gTigrish, Rosli K. Matari, Jendela Timur, Ogos 2014.
8. gDari Mimbar Shinjukuh, Syafiq Zulakifli, Mingguan Malaysia, 30 November 2014.
9. gAl-Kisah, di Negara yang Memansuhkan Bahasah, Muhammad Haji Salleh, antologieNyala Api
@@dalam Dadaf, terbitan ITBM, 2014.
10. gMencari Jernihh, Shapiai Mohammad Ramly, antologi eCerita Alam Gelora Hujung Benuaf,
@@DBP Wilayah Selatan, 2014.
ULASAN KARYA PEMENANG
- gDi Padang Sarjanah karya Tuah Sujana
Puisi ini melihat satu sisi kehidupan para sarjana di menara-menara gading khususnya yang berlumba-lumba mengejar kecemerlangan, nama, kuasa dan pengaruh. Mereka berbalah sesama sendiri, mempertahankan secebis ilmu yang dimiliki, berasa hebat dan sombong diri. Di bahu mereka sebenarnya tergalas amanah besar dari Allah SWT agarmenjadi pemimpin yang bersahsiah tinggi bukan bercakaran sesama sendiri. Hal ini dapat dikesan dalam petikan ini;
bagaikan gelanggang sabung
perbezaan adalah senjata
tatkala wacana dicairkan
dimensi dikecilkan
Pencapaian dalam bidang ilmu masing-masing sehingga dikelompokkan dalam kalangan sarjana hanya cebisan ilmu yang berjaya diraih dengan izin-Nya. Justeru, amanah untuk memakmurkan ilmu tersebut wajar difahami. Setiap ilmu itu pula punya tempatnya yang tersendiri dan para sarjana jarang menghormati bidang ilmu di luar bidang ilmu yang dikuasainya. Senario inilah yang menjadikan mereka sering bertelagah sehingga lupa tentang amanah yang telah dipertanggungjawabkan.
- gKalaulah Papa Memukulmu, Adibh karya Rahimidin Zahari
Puisi ini memperkatakan isu sejagat, iaitu kasih sayang. Dengan kasih sayang, hati manusia mampu dilenturkan dan dapat membangun manusia dan kemanusiaan. ePapaf mewakili pemimpin keluarga atau negara yang bertanggungjawab memastikan kesejahteraan setiap ahlinya atau masyarakatnya. Dalam konteks ini anak-anak adalah amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada ketua keluarga. Pendidikan adalah aset berharga buat si anak; anak mewakili generasi muda yang wajar menerima didikan yang baik yang dengannya dapat dipastikan kebaikan sahsiahnya.
Dalam kehidupan ini, setiap kehidupan tidak mungkin mencapai kesempurnaan meskipun bagi mereka yang telah berada di puncak kejayaan, justeru cerdik pandai juga wajar menerima teguran, pendapat dan perkongsian buah fikiran. Sekalipun teguran itu pahit, jika ia benar maka berlapang dadalah menerimanya secara terbuka. Sama juga dalam mendidik anak-anak, jika perlu dipukul untuk mengajar maka itu hanya untuk kebaikan, kerana kasih sayang bukan hanya ditunjukkan dengan belaian.
- gKepada Perempuan Lauth karya Siti Zainon Ismail
Puisi ini mempamerkan antara lain kisah kehidupan sukar wanita di pesisir pantai di Indonesia,hatta di mana-mana jua pun; bergelut untuk hidup di samping mempertahankan maruah, adat dan budaya. Oleh tuntutan yang sentiasa menghimpit, keunggulan wanita lampau menjadi inspirasi. Keistimewaan wanita pulau di Penyengat Tembilahan dilihat dari segi kekayaan serta keunikan tradisinya, cara mereka berpakaian, beradat malah pada keunikan masakan tempatan.
Namun kini, dibimbangi sebahagian daripada tradisinya, ilmu pencak silat, perhiasan wanita dengan keunikan seninya perlahan-lahan akan pupus. Warisan yang masih bersisa perlu diselamatkan dengan kesedaran, ilmu dan kewajipan. Fenomena yang dikisahkan hanya secepis dari kisah kemusnahan; pemerhatian, bukti atas kemusnahan itulah yang wajar menjadi pengajaran. Susuk budaya yang kaya akan lenyap dan tidak akan kembali lagi. Puisi elegi ini sekaligus gagasan mempertahankan tradisi yang dimiliki oleh gugusan pulau-pulau Melayu di Nusantara.
- gPerkebunan Budaya Melayuh karya Basri Abdillah
gPerkebunan Budaya Melayuh adalah refleksi terhadap khazanah Melayu bangsa serumpun yang dimiliki; meliputi bahasa, kesusasteraan, ketamadunan, sejarah dan kesenian. Kekayaan tradisi sastera, bahasa dan kesenian berupaya menentukan kelangsungan bangsa yang bertamadun. Setiap satunya dengan yang lain-lainnya saling melengkapi. Peri betapa besarnya peranan bahasadapat dilihat pada:
dahan menunjang wacana
ranting mengimbang neraca bicara
daun melampirkan kalam aksara
Bahasa juga menjadi jambatan penghubung bangsa serantau Nusantara. Kesusasteraan mempamerkan kaitan estetik yang berkuasa sebagai pendamai apabila terbibitnya prasangka. Warisan seninya pula menjadi jambatan penghubung yang berkesinambungan serta mempamerkan kekayaan ketamadunan bangsa Melayu.
- gMembaca Aksarah karya Muhammad Haji Salleh
gMembaca Aksarah adalah sebuah penelitian yang rapi tentang makna kata; dari kata ke kata. Aksara adalah himpunan setiap huruf dengan maknanya yang luar biasa. Aksara wajib dikenali, dipelajari dan difahami. Aksara dalam huruf jawi adalah bahasa wahyu, bahasa al-Quran. Bagaimana mungkin aksara yang begitu berharga dilupai begitu sahaja? Misalnya sebagaimana yang terungkap dalamecpasir babak dibiarkan bergolak/ hingga kuala keruhcf pada hal, aksara itu titian pada kata dan pengkisahan; tentang hidup dan kehidupan. Akhirnya, puisi ini menegaskan tentang kepentingan dan kehebatan aksara kepada bangsa dan zaman, perhatikan;
csemangat dan roh
yang bijaksana dan memerhati sejarah.
gerak jiwa dan suara manusia.
semuanya berkata-kata
dan sarjanalah membentangnya
di rehal ilmu.
- gTigrish karya Rosli K. Matari
Tigris membawa tema sejarah dan peradaban. Sungai Tigris yang terletak dalam negara Iraq dijadikan lambang sebuah peradaban manusia yang besar yang mengenalkan kepada pembaca erti kemajuan pada masa lampau dan juga kelangsungan kemajuan masa akan datang. Namun, peradaban yang terbina telah musnah disebabkan perang yang berpanjangan. Sajak ini menampakkan sikap sensitif penyajak terhadap nilai sejarah dan peradaban.Tigris adalah realiti sebuah sejarah, tetapi maksud yang ingin disampaikan penyajak melewati sempadan Tigris itu sendiri.
Penyajak menyuakan pertanyaan tentang masa depan, dan juga tentang perihal warisan peradaban lampau yang musnah; bahawa semuanya akan hancur menjadi sejarah yang hanya mampu ditagisi. Karya ini boleh memberi kesedaran moral yang mendalam kepada kalangan generasi baharu supaya mencintai sejarah dan peradaban bangsa, serta menjauhi perkara-perkara yang memusnahkan kehidupan serta peradaban mereka.
- gDari Mimbar Shinjukuh karya Syafiq Zulakifli
Karya merentangkan suatu bandingan antara manusia yang telah diberi ruang dan peluang mempelajari dan mempraktikkan agama, tetapi tidak menjaganya dengan baik malah mengabaikannya; berbanding masyarakat di Jepun; Shinjuku, Yokohama dan Hiyoshi yang tersesat dalam kemajuan dan kemodenan, akan tetapi kurang mempedulikan akidahnya.
Justeru, hasrat membawa mereka bersama-sama pulang pulang ke landasan benar merupakan suatu kewajiban yang mulia.Meskipun suara penyair merujuk diri, namun persoalan dakwah merupakan tanggungjawab seluruh umat manusia yang cinta akan Allah dan Rasul-Nya. Kewajiban berdakwah tidak memilih bangsa dan warna kulit atau sempadan geografi.
- gRezeki Bumih karya Siti Zainon Ismail
Puisi ini menyorot keajaiban ciptaan Allah bemula dengan Nabi Adam yang dihantar ke bumi untuk menunaikan amanat memakmurkan alam; melahirkan zuriat dan keturunan manusia. Sesudah itu mereka diuji kerana kasih sayang-Nya; hikmah kesabaran menempuh ujian dibalas kebaikan dunia dan akhirat. Untuk anugerah yang besar itu manusia diingatkan untuk tidak bersikap angkuh, setelah diberikan pelbagai nikmat berkeluarga, bumi yang kaya-raya, dilimpahi makanan dan sumber bumi, seperti yang diungkapkan dalam baris-baris berikut ini:
Masihkah kau lupa
pabila kekayaan tiba
melupakan petaka menjadi bangga
menakluk sendiri harta Ilahi?
Karya ini menganjurkan agar manusia menelusuri sejarah nabi Adam seterusnya menjadikannya sebagai iktibar, hanya eckerana sebutir buah terlarang/ kami berpisah panjang!f Demikian hukuman yang diterima oleh Adam dan Hawa yang asalnya penghuni syurga!
- gAl Kisah,Di Negara yang Memansuhkan Bahasah karya Muhammad Haji Salleh
Puisi ini padat dengan pengucapan yang tegas dan bermakna. Isu yang diperkatakan ialah isu besar, iaitu bahasa yang berimpak kepada sejarah, ketamadunan dan maruah bangsa.Kekuatan bahasa Melayu dijelaskan seperti yang berikut:
bahasa itu merdu, lekat pada bibir dan usia.
segala rasa fikir ditebar di dalam jaringnya
segala tindak dan putusan dicatat dalam lenggoknya
Pihak tertentu telah membuat keputusan yang tidak bijak; mengabaikan bahasa Melayu sebaliknya mengagungkan bahasa asing. Kemusnahan ini dilihat sebagai kemusnahan bangsa dan kebudyaannya. Suatu kehilangan yang besar dan sukar dibangunkan semula gara-gara ebijak pandaif yang sebenarnya etidak bijakf. Ironisnya tiada sesiapapun yang berani bersuara, ec seperti negeri ditampar geroda/ tiada yang berani menggerakkan bibircf Puisi ini diungkapkan dalam bahasa sinis. Bahasa dan sejarah ec sudah dibuang ke pelimbahan/ dan sastera yang ditutup masa depannya...h Impak daripada perbuatan mengabaikan bahasa seperti mengkhianati leluhur! Bahasa asing diutamakan sehingga membentuk jurang kefahaman, kesetiaan, jati diri dan ketamadunan.
- gMencari Jernihh karya Shapiai Mohammad Ramly
Jernih adalah ungkapan yang mempunyai makna berganda. Dalam puisi ia memungkinkan lahirnya apa yang dipanggil ambiguiti. Kejernihan embun, air yang mengalir, cahaya yang bersinar, cermin yang membiaskan rupa sering dikaitkan dengan makna kejernihan sama ada sebagai lambang atau membawa makna langsung. Sama juga dengan kisah yang dipaparkan dalam puisi ini, mencari penyelesaian pada permasalahan alam sekitar; bakau yang menjadi benteng teluk dan pantai perlu dipastikan kewujudannya. Sungai-sungai yang jernih telah ditimbus kerana pembangunan, lautan menjadi cetek kerana ditimbus menjadi tapak industri dan kediaman mewah.
Kemusnahan ini sukar dibayar kerana alam anugerah Tuhan, sekali dimusnahkan sukar diganti dan tidak lagi hadir dalam rupanya yang asli dan murni. Kemusnahan alam bukan isu baru, tetapi isu yang tiada berkesudahan.Puisi ini memilih jalan tengah, iaitu mencari penyelesaian. Dalam makna pelambangan, ejernihf boleh ditafsir sebagai ketelusan dan keikhlasan. Ramuan kejernihan ini adalah agama; kepercayaan kepada Tuhan. Agama mengajarkan kebaikan, untuk diri, sesama manusia dan sesama makhluk. Jika agama dipertahankan maka kejernihan akan menjadi diri yang daripadanya tertampil perbuatan, amalan, kata-kata yang baik dan memberi kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Kebaikan adalah refleksi diri manusia yang jernih sifatnya. Stanza akhir puisi ini merakam fenomena masa kini, dengan jelasnya;
Ketika orang mencari benar
kita masih mengharap sinar
ketika orang mencari jernih
kita masih melangkah jerih.
Pengucapan ini mempamerkan kekesalan tentang sikap dan pelakuan mereka yang dianggap tidak mahu berubah sehingga mereka dilihat sebagai ketinggalan dan pasif.
KESIMPULAN
Demikian, sebuah kumpulan puisi yang berjudul Jaulah Sampai Syurga diangkat menjadi penerima HSPM 2014 kali ini. Sebagai sebuah kumpulan puisi, ia diharap dapat mengalirkan intipati makna karya kepada pembaca. Subjek yang mendasarinya dikira kukuh dalam pengucapan yang mampu mengangkat apresiasi tinggi. Kumpulan ini dihasratkan berupaya menghembuskan kesegaran baharu kepada pengalaman pembacaan, penikmatan dan resepsi khalayak di persada kesusasteraan Melayu kita. Manakala, 10 buah puisi dari jumlah 2,181 yang tersiar dalam pelbagai media penerbitan sepanjang tahun 2014, yang kemudian disaring awal sehingga 126 buah, yang telah dipilih memenangi HSPM 2014 ini sesungguhnya mampu menggugah indera pembaca, bukan sahaja bersandarkan subjeknya yang selektif, tersaring baik dan matang dari segi pengolahan, akan tetapi pengarangnya membuktikan telah menggunakan bahasa yang kreatif serta segar dalam menghantarkan mesej tersiratnya kepada khalayak.
Disediakan oleh:
Dr. Lim Swee Tin
Dr. Sakinah Abu Bakar
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ali
http://dwnsastera.dbp.my/?p=1959